St
Sidang media Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood (dua dari kiri) 

PENAMPANG, SABAH – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkam akan menubuhkan pasukan task force sebagai langkah untuk mengelakkan catuan elektrik dilakukan di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood berkata pasukan task force ini melibatkan pihaknya bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) berkaitan.

Katanya, pasukan ini akan memantau operasi serta permintaan bekalan dan penyeimbangan bagi memastikan bekalan (reserve margin) selamat untuk pengguna.

“Jadi ia akan menjadi lebih mudah untuk pihak kami buat koordinasi. Sebagai contoh, sebahagian jawatankuasa memerlukan penyelenggaraan, isu bekalan api dan sebagainya, kita boleh berbincang.

“Ia juga mengelakkan pihak kami melakukan catuan elektrik atau sebarang gangguan. Kami mahu bekalan sentiasa di tahap hijau (tahap sihat) sehingga situasi ini berakhir, kemudian barulah kita akan bubarkan pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang dilakukan bertempat di Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (Load Despatch Centre), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Industri Operasi ECoS, Jefrey Nuri dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar.

Disamping itu, Abdul Razib turut berkata pihaknya juga mengambil langkah untuk memberi insentif dan mempunyai nilai ekonomi kepada pengguna bagi mengurangkan penggunaan elektrik ketika waktu kemuncaknya.

“Waktu kemuncak (penggunaan elektrik harian) sekitar jam 11 hingga tiga petang dan tujuh hingga sembilan malam. Jika kita memberi insentif untuk mengurangkan bebanan, jadi kita boleh mengurangkan risiko catuan elektrik.

“Saya pasti SESB mempunyai skim seperti jika pengguna mempunyai penjana kuasa akan memperoleh skim pampasan dan sebagainya.

“Bagi pengguna yang tidak memiliki penjana kuasa, kita menggalakkan mereka mengalihkan permintaan mereka kepada waktu luar kemuncak penggunaan elektrik.

“Mungkin kita boleh menawarkan insentif seperti memberi diskaun. Walau bagaimanapun, kita akan bincangkan perkara ini dan melihat bagaimana kita dapat melaksanakannya secepat mungkin,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *