Juhar
Bonny Kayondo (Uganda) menerima Ijazah Sarjana Sains Pertanian (Pengeluaran Tanaman) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Graduan disaran mengamalkan etika kerja rajin, menepati masa, peka kepada perubahan dan teguh menghadapi cabaran.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata keberadaan graduan dalam masyarakat adalah satu kekuatan kerana kebijaksanaan mereka akan membawa kemajuan bangsa dan negara.

“Dengan sikap yang utuh dan kental, mereka mampu membina semula negara Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, berprestij dan disegani ramai.

“Sesungguhnya, graduan di universiti ini telah dilengkapi dengan minda terbuka yang mampu menerima cabaran semasa.

“Jika anda memulakan sesuatu yang hebat untuk masa depan anda, maka ia memerlukan permulaan yang cemerlang, dan itu bermula pada langkah yang pertama,” katanya semasa berucap di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah Ke-25 Tahun 2023 (Sidang I), pada Isnin.

Tun Juhar turut berkata bakal pekerja mestilah berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan organisasi.

“Antara kualiti yang dicari termasuk mempunyai motivasi dan etika kerja yang baik, disiplin serta mempunyai sifat integriti yang tinggi.

“Permulaan kehidupan sebenar mungkin bermula dengan mencari pekerjaan, hari ini, terutamanya di Sabah, mendapatkan pekerjaan pertama bukanlah satu tugas yang mudah.

“Kekosongan jawatan yang amat terhad ini menyebabkan persaingan antara graduan sangat kompetitif dan memerlukan seseorang calon itu dapat mengetengahkan kriteria yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa,” ujarnya.

Majlis Konvokesyen UMS bagi Graduan Tahun 2023 meraikan seramai 4,236 graduan merangkumi penerima Ijazah Doktor Falsafah 106 orang dan Ijazah Sarjana seramai 307 orang.

Manakala bagi Diploma Pasca seramai 144 orang, Ijazah Sarjana Muda 3,617 orang dan 62 orang menerima Diploma sepanjang 4 hari majlis berlangsung. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *