Joachim
Joachim (duduk, tengah) bersama dengan Hassan (duduk, lima dari kanan), Joseph (duduk, lima dari kiri) dan semua ahli majlis MPT, para Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan barisan pegawai kanan MPT ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

TAWAU, SABAH – Majlis Perbandaran Tawau (MPT) hari ini melancarkan Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Perniagaan secara dalam talian dan Program Libat Urus Komuniti MPT.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam melancarkan kedua-dua inisiatif ini pada majlis yang diadakan di Dewan Persidangan MPT, di sini.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga MPT atas kejayaan melancarkan perkhidmatan pembaharuan lesen perniagaan secara dalam talian itu, Joachim berkata, kini lesen perniagaan, lesen operasi dan lesen berjaja boleh diperbaharui menggunakan kaedah dalam talian.

“Pembaharuan lesen secara dalam talian ini merupakan salah satu perkhidmatan di dalam aplikasi MPT E-services yang membolehkan orang ramai melaksanakan pembaharuan lesen.

“Antara kelebihan perkhidmatan ini ialah tidak perlu datang ke kaunter, boleh diakses di mana sahaja, tidak perlu beratur panjang, transaksi pembayaran secara dalam talian dan lesen boleh dicetak sendiri di rumah.

“Kebaikan perkhidmatan ini ialah penyediaan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada masyarakat dapat ditambah baik dan mempertingkatkan tahap celik IT di kalangan masyarakat setempat. Selain itu, kaedah ini juga adalah lebih pantas serta dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan risiko penularan wabak merbahaya kerana tidak perlu bersemuka.

“Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh datang ke kaunter sekiranya terdapat permasalahan ketika memperbaharui lesen.” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan sebanyak 5,000 lesen telah diperbaharui dengan menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Katanya, perkhidmatan secara dalam talian adalah merupakan antara teras strategik yang terdapat di dalam Kompenan Pelan Tindakan KKTP seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik 2021-2025.

Disamping itu, mengulas mengenai Program Libat Urus Komuniti secara bersepadu, Joachim berkata, ia melibatkan kualiti perkhidmatan, kepuasan pelanggan dan libat urus pelanggan.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang antara masyarakat Tawau dengan PBT melalui kaedah mendekati komuniti untuk mendengar isu semasa dan menyampaikan maklumat perkhidmatan MPT.

“Ia melibatkan antara jabatan, agensi, syarikat melalui tanggungjawab sosial korporat, ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR).

“Pihak kementerian akan sentiasa memberikan kerjasama dan memantau apa juga program dan aktiviti yang akan dilaksanakan di semua PBT. Saya berharap mutu dan kualiti kerja di MPT akan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan Awang Gani Pengeran Amir, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang dan timbalannya, Shoffian Mohd Said.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *