Anwar
Jeffrey (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anwar (tengah) sambil diperhatikan oleh Hajiji (kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim prihatin terhadap isu-isu berbangkit di Sabah terutamanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, keutamaan kerajaan perpaduan adalah menyelesaikan masalah pelaksanaan MA63.

“MA63 merupakan perjanjian ikrar yang dimeterai oleh bapa-bapa kemerdekaan dan tanggungjawab generasi ialah melaksanakan janji itu dengan setia dan ikhlas. 

“Dalam tempoh enam bulan, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kerjasama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama pasukan negeri dan persekutuan, hampir keseluruhan permasalahan itu telah selesai dengan baik. 

“Selain itu, isu-isu seperti pembangunan, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan, prasarana asas api, air, jalan-jalan patut diselesaikan dengan baik. 

“Selain itu, isu-isu seperti pembangunan, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan, prasarana asas api, air, jalan-jalan patut diselesaikan dengan baik.

“Soal hal-hal peringkat lain seperti universiti dikemukakan, saya akan siapkan kertas cadangan dan akan bincang dengan kerajaan negeri supaya semua projek ini kita lakukan dengan mengambil kira pandangan dan imput dan persetujuan kerajaan negeri Sabah,” katanya semasa berucap dalam Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Hongkod Koisaan KDCA, pada Rabu.  

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bahagia dan gembira kerana dapat bersama-sama menyambut Pesta Kaamatan yang bukan sahaja disambut oleh masyarakat Kadazan Dusun, Murut dan Rungus malah seluruh rakyat di Sabah tanpa mengira kaum dan agama.

“Kehadiran saya ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan negara Malaysia ini bersungguh-sungguh mahu meyakinkan rakyat bahawa ini fasa baru negara mahu mengangkat semua rakyat Malaysia.

“Acara seperti inilah merupakan acara rakyat, seperti yang diumumkan oleh penyair terkenal, Taufik Ismail, katanya ‘mengakar ke bumi, menggapai ke langit’ kita ada cita-cita dalam negara Madani, menjadikan Sabah dan Malaysia negara unggul hebat ekonomi, kuat tahap pendidikan dan teknologi. 

“Malaysia ini hebat selagi rakyatnya, bermula dengan pemimpinnya, mempunyai sikap yang terbuka, bukan sekadar menghormati toleransi tetapi menghormati apresiasi ada kekuatan, kehebatan dan ada keindahan masing-masing,” jelas beliau.

Bertemakan “Kaamatan Membudayakan Perpaduan,” “Kaamatan Enculturates Unity” dan “Kaamatan Mongubasanan Pisompuruan” perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2003 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalannya, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, menteri-menteri, pembantu-pembantu menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *