Pdrm
Mayat mangsa diusung keluar pusat membeli belah di Kota Kinabalu – ( Sumber Foto: Ihsan IPD KK )

KOTA KINABALU, SABAH – Cemburu punca pembunuhan seorang pembantu kedai berusia 22 tahun di sebuah pusat membeli belah sini pada kira-kira 12 tengah hari kelmarin (Jumaat).

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan Kalsom Idris berkata siasatan mendapati suspek merasa tidak puas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka dua hari sebelum kejadian.

“Suspek cuba memujuk mangsa di tempat kerjanya, namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi.

“Disebabkan itu, suspek berasa berang dan bertindak menikam mangsa sebanyak lapan kali pada bahagian tubuh mangsa sehingga menyebabkan kematian.

“Pihak paramedik yang berada di tempat kejadian telah cuba untuk menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi pada jam satu petang,” katanya.

Beliau berkata suspek berusia 33 tahun itu sendiri memaklumkan polis tentang perbuatannya melalui panggilan telefon manakala pengawal keselamatan pusat membeli belah menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

“Si mati seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian, manakala suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Pihak polis telah merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa iaitu sebilah pisau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan mempersiapkan siasatan dengan segera.

“Ini agar dapat memastikan saspek menerima hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak bertindak mengikut perasaan dan melanggar undang-undang sehingga merisikokan diri dan masa depan sendiri,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *