Victor
Victor ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memfokuskan tiga aspek bagi menjamin keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander Esscom yang baharu, Victor Sanjos berkata penguatkuasaan undang-undang bersama agensi lain di Esszone akan ditingkatkan termasuk operasi bersepadu di kawasan darat serta perairan yang merupakan laluan aktiviti perkapalan dan perikanan.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan bahagian-bahagian yang ada di ESSCOM untuk mengkaji tempat-tempat paling strategik untuk meletakkan agensi atau unit kawalan supaya satu-satu kawasan berada dalam keadaan selamat.

“Bagi memperkukuhkan risikan keselamatan, sudah tentu sumber maklumat akan diperhebatkan dan melibatkan kolaborasi serta kerjasama dari semua peringkat perisikan luar dan dalam negara,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Esscom yang disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, pada Rabu.

Victor menggantikan DCP Mohd Ali Tamby yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan berkuatkuasa 3 Julai.

Manakala, Mohd Ali menggantikan Datuk Hamzah Ahmad yang bertukar keluar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengambil alih jawatan Komander Esscom pada 18 Mei 2023 lalu dan kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan menggantikan Victor.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP), Datuk Makhzan Mahyuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shahminan Awang Sahari dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *