TENOM, SABAH – Usaha membangunkan generasi yang mencintai, memiliki akhlak dan ilmu Al-Quran perlu terus diperkasa.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkata ke arah merealisasikan usaha tersebut, penganjuran kelas-kelas pengajian di setiap masjid, surau dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini hendaklah dipertingkatkan bilangannya.
“Semua pihak haruslah bersama-sama menggembleng tenaga bagi memartabatkan Al-Quran melalui aktiviti membaca, menghafal dan memahami isi kandungan untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian setiap mukmin.
“Marilah kita terus membaca Al-Quran setiap hari, kalau tak mampu satu juzuk bacalah separuh juzuk.
“Jika tak mampu bacalah satu muka surat, kalau masih tidak mampu, berusaha dengan satu ayat atau cukuplah dengan hanya memandang Al-Quran dengan penuh rasa tawaduk sebagai umat Islam,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Bacaan Yasin Bersama Yayasan Nur Jauhar di Dewan SJKC Tsi Sin dekat sini, pada Rabu.
Seramai 101 jemaah menyertai majlis tersebut terdiri daripada wakil dari Masjid Ar Rahman, Masjid Jamek Kampung Chinta Mata, Masjid Al Hidayah Kampung Lagud, Masjid Hidayatullah Perumahan Kallang, Surau Al Hidayah Hospital Tenom, Surau As Syakirin Kampung Ulloi Tenom, Surau An-Nuur Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom dan Surau Al Falah, Kampung Bunut.
Turut diadakan penyampaian tazkirah oleh Dk Rohhidayati Pg Duraman, manakala bacaan yasin diketuai oleh Nazurah Mahat.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Mas Syazwan Masood, Ketua Polis Daerah, DSP Hasan Majid dan Pengerusi Puspanita Daerah, Mastizah Samad. — JABATAN PENERANGAN SABAH