PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini menerima sebanyak lima laporan berkaitan kes penipuan tempahan makanan atas talian dengan menyamar sebagai penjawat awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan Kalsom Idris berkata seorang mangsa yang merupakan pemilik restoran telah membuat laporan pada Selasa lalu (30 Mei).

“Pengadu kononnya dihubungi Sarjan Hafis daripada Kem Rejimen 507 Askar Wataniah dan telah membuat tempahan makanan sebanyak 150 pek untuk tiga hari. Pengadu yakin dengan tempahan atas talian lalu bersetuju untuk membekalkan makanan.

“Kemudian, suspek telah menawarkan pengadu untuk menjadi orang tengah antara Kem Rejimen Askar Wataniah dengan sebuah syarikat bagi membekalkan makanan segera bernilai RM63,000.

“Apabila pengadu bersetuju maka pengadu diminta untuk membuat bayaran deposit 50 peratus serta dijanjikan keseluruhan barang akan dihantar ke kedai pengadu.

“Lalu pengadu telah membuat pembayaran sebanyak RM23,525 ke tiga akaun individu yang diberikan oleh suspek.

“Suspek berjanji akan membuat bayaran keseluruhan semasa mengambil makanan di kedai pengadu namun, suspek tidak mengambil makanan tersebut dan makanan segera juga tidak diterima serta suspek gagal dihubungi,” Kalsom berkata.

Katanya, pengadu telah membuat semakan dengan pihak Kem Rejimen 507 dan mendapati tiada penama ‘Sarjan Hafis’ serta tiada program yang akan berlangsung di kem tersebut.

“Pihak polis menasihatkan peniaga-peniaga lebih berhati-hati dan memeriksa kesahihan tempahan serta dokumen berkenaan bagi tempahan atas talian dan jangan mudah terpedaya sehingga melakukan sebarang transaksi wang.

“Pihak polis meminta kerjasama dari semua pihak untuk tampil memberikan maklumat tentang kejadian ini untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap pelakunya,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu, nama baik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dan Tawau juga telah digunakan ‘scammer’ dengan taktik yang sama.

Dalam laman rasmi Facebook BBP Tawau, agensi penyelamat itu berkata pihak mereka telah menerima empat aduan tempahan makanan palsu.

Pihaknya menasihati agar pemilik restoran atau pembekal menghubungi balai terlebih dahulu bagi mendapatkan pengesahan demi mengelak menjadi mangsa penipuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *