KOTA BELUD: Parti Warisan (Warisan) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman terhadap fitnah yang mendakwa ahli-ahli Warisan terdiri daripada pendatang tanpa izin (PTI).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan mengambil tindakan saman ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap Warisan.

“Saya mahu semak jumlah ahli-ahli Warisan di Kota Belud, siapa di Tuaran, siapa di Tenom. Jangan sebut majoriti ahli Warisan PTI. Saya akan saman dia kerana memfitnah,” katanya kepada media selepas Program Jelajah Warisan di Kota Belud kelmarin.

Beliau berkata, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyebut bahawa sebahagian besar ahli Warisan adalah PTI.

“Saya minta kepada Datuk Maximus, saya pelawa (kerjasama) untuk kita katakan penyatuan umat tapi kalau tak setuju pun tak apalah, jangan tuduh yang kita ini ahli-ahlinya sebahagian besar adalah PTI.

“Saya akan lihat dari segi undang-undang bagaimana keadaan ini. Saya tidak mahu mereka gunakan ini sebagai bahan politik untuk pecah-belahkan undi yang ada di negara ini, terutama di Sabah,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, hasrat Warisan hendak bergabung dengan PBS kerana parti itu pernah memerintah negeri Sabah dan ramai dalam kalangan anggota PBS yang terdiri daripada masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) mahu bergabung bersama Warisan.

Namun, sekiranya Maximus rasa sukar untuk membentuk gabungan dengan Warisan yang didakwa banyak ahlinya PTI, ahli-ahli Warisan boleh membuat laporan polis.

“Mana ada ahli kita PTI, saya telefon ahli kita di Pensiangan, 17,000 ahli kita di situ orang KDM bukan PTI. Begitu juga saya tanya Ketua Bahagian Warisan Tenom, ada 7,000 ahli Warian di Tenom juga orang KDM,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, beliau juga digelar PTI sedangkan nenek moyangnya adalah orang Sabah yang pernah terlibat dalam membantu menyelesaikan isu pergaduhan mengutip telur penyu di Pulau Sipadan dan Ligitan yang berlaku semasa zaman British.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *