KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan terhadap budaya membeli wakil rakyat yang didakwa berlaku di Sabah.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) semasa perbahasan usul Titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini membangkitkan tentang budaya membeli wakil rakyat.

Beliau meminta agar penguatkuasa yang ada seperti SPRM atau jabatan-jabatan lain untuk menyiasat kebenaran perkara itu.

Menurutnya, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan telah dibeli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Malah, semasa perbahasan itu, Mohd Shafie turut menunjukkan telefon bimbitnya di hadapan semua Ahli Parlimen mengenai komunikasinya bersama ADUN Kunak.

“Di telefon ini, dia (ADUN Kunak) cakap dia telah dihubungi (oleh GRS),” katanya.

Pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan bertindak keluar parti dan mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Norazlinah berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira segenap sudut serta hala tuju perjuangan parti Warisan termasuk pandangan akar umbi di kawasan DUN yang diwakili.

Pengumuman keluar parti itu dilakukan menerusi satu rakaman video tular.

Dalam video itu, Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan turut menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Hajiji Noor.

Sebelum ini, enam ADUN Warisan yang keluar parti terlebih awal ialah Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *