Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing…

KUALA LUMPUR – Kekecohan yang hangat diperkatakan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ini yang membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan telah berjaya membongkar “peristiwa yang memalukan negara”.

Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing dalam satu kenyataan hari ini berkata isu kekecohan itu telah membongkar wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, portal BebasNews melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.

Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.

Tiong mengesahkan beliau individu dalam gambar kejadian yang ditularkan, dan berada di KLIA ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong.

Beliau menafikan dakwaan dia melepaskan pelancong yang ditahan imigresen. “Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian.”

Menurutnya, kejadian itu menimbulkan masalah komunikasi antara pelancong dan pegawai terbabit sehingga menyebabkan imigresen gagal mendapatkan dokumen yang diperlukan.

“Timbul persoalan kenapa mereka menolak penterjemah yang disediakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad?”

Menurut Tiong, bersamanya ketika itu pegawai siasatan dari unit integriti bawah kementerian.

“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

“Saya merasakan sudah tiba masanya SPRM masuk ke KLIA secara besar-besaran,” katanya yang dipetik FMT.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian berkenaan.

Anthony Loke Siew Fook…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *