Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di KDCA di sini, hari ini (31 Mei 2023)…

PENAMPANG, SABAH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidurnya sehingga diganggu oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang tidak jemu membicarakan soal masalah infrastruktur rakyat Sabah tanpa mengira waktu.

Walau bagaimanapun, Anwar kagum dengan dedikasi Hajiji meskipun orang lain pada waktu itu sedang lena tidur.

“Ia terbukti tengah malam tadi iaitu selepas tiba di Kota Kinabalu. Saya sendiri terpaksa meminta izin daripada Hajiji untuk tidur kerana masih mahu membincangkan soal masalah rakyat pada pukul 2 pagi. Sampai saya kata Hajiji boleh saya pergi tidur sekarang?

“Hajiji menunggu ketibaan saya di lapangan terbang hanya untuk bercakap soal masalah rakyat. Itulah sikap seorang pemimpin yang perlu dicontohi kerana sangat prihatin kebajikan rakyat bukannya seperti sesetengah pemimpin yang hanya berjumpa untuk meminta projek demi keuntungan peribadi.

“Inilah kita nak pemimpin-pemimpin, bukan pemimpin minta umpamanya jumpa saya dia kata ada projek untuk saya, ada tak saham untuk saya. Tetapi saudara Hajiji ada tidak tambahan projek untuk rakyat Sabah,” katanya.

Anwar berkata demikian pada ucapan perasmian Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di KDCA, sini, hari ini.

“Hajiji juga telah memberikan kerjasama yang baik sejak enam bulan beliau menjadi Perdana Menteri dalam soal memastikan hak-hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan…

“MA63 saya tidak bimbang lagi kerana keutamaan kita Kerajaan Perpaduan nak selesaikan masalah MA63 yang sejak berpuluh tahun, setiap kali saya datang ke Sabah tak habis-habis dengar masalah pelaksanaan MA63.

“Itu perjanjian yang dimeterai oleh bapa-bapa kemerdekaan kita, tanggungjawab generasi kita ialah melaksanakan janji itu dengan setia dan ikhlas, maka dalam tempoh enam bulan bersyukur kita kerana kerjasama Ketua Menteri bersama pasukan di negeri dan Persekutan hampir semua masalah itu telah selesai dengan baik,” tegasnya.

Memetik laporan Borneo Gazette, Anwar berkata satu mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah akan dilakukan esok untuk mencari jalan penyelesaian mutlak bagi isu air dan jalan raya.

Anwar berkata peruntukan baiki jalan ditingkatkan dan peruntukan tertinggi memperbaiki jalan adalah untuk negeri Sabah.

“Kita telah minta tindakan segera bukan sahaja Pan Borneo yang patut diselesaikan tetapi juga jalan-jalan yang rosak sebahagiannya kita serahkan kepada kerajaan negeri, sebahagiannya ikut prosedur biasa kementerian,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *