Puspanita
Safar (empat dari kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) memainkan peranan besar dalam mengangkat imej perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, PUSPANITA sentiasa melatih anggotanya dalam aspek pengurusan organisasi serta program-program ke arah memupuk nilai perpaduan.

“Bagi membolehkan sesebuah persatuan sentiasa dihormati dan relevan, ia mestilah sentiasa memikirkan pendekatan dan kaedah terbaik memantapkan pengurusan dan pelaksanaan programnya mengikut perkembangan dan peredaran masa.

“PUSPANITA Cawangan Sabah sememangnya memainkan peranan besar dalam mengangkat imej perkhidmatan awam dan saya yakin program-program yang dilaksanakan akan dapat memberi impak bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, saya menyeru semua penjawat awam wanita dan isteri kepada penjawat awam untuk mendaftar sebagai ahli PUSPANITA kerana pelbagai program yang menekankan konsep keluarga, riadah dan keagamaan akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keluarga dan Walk For Health PUSPANITA Cawangan Sabah 2023 di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Dr. Nuinda Alias menjelaskan program-program yang telah dilaksana pada tahun ini menjadi platform untuk mengasah bakat, kemahiran dan pembentukan sahsiah ahlinya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainuddin Aman. — JABATAN PENERANGAN SABAH




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *