PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

PENAMPANG, SABAH – Polis daerah ini tidak mendapati unsur jenayah dalam cerita anak seorang wanita yang cuba ditarik oleh pasangan yang tidak dikenali pada kedai perhiasan dalam sebuah pusat beli belah di sini pada Rabu.

Wanita itu dalam satu muat naik di Facebook mendakwa anaknya yang berusia tujuh tahun ditarik di bahagian lengan oleh seorang wanita berambut perang dan seorang lelaki berusia 40an.

Tangkap
Tangkap layar pautan yang dimuat naik dalam Facebook mengenai dakwaan seorang wanita yang mengatakan anaknya cuba ditarik oleh pasangan tidak dikenali dalam sebuah kedai perhiasan ( Sumber Foto: Tangkap layar tular di laman media sosial )

Bagaimanapun, wanita itu berkata anak lelakinya itu sempat berpaut pada kaki kakaknya yang berusia 11 tahun.

“Selepas anak perempuan saya menjerit, pasangan itu tampil dan mendakwa anak saya yang menarik mereka dahulu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata siasatan lanjut pihaknya sebaliknya mendapati fakta cerita wanita tersebut bercanggah.

“Oleh yang demikian, pihak polis meminta orang ramai supaya berhenti menyebar luaskan posting tersebut bagi mengelakkan salah faham sehingga menimbulkan kegusaran yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *