Zayyn
Polis percaya kanak-kanak penghidap Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mati akibat dibunuh ( Sumber Foto: Laman media sosial )

SUNGAI BULOH, SELANGOR – Kesan kelar pada leher mayat seorang kanak-kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui dalam sungai selepas hilang dari Apartment Idaman, Damansara Damai di sini mengesahkan bahawa dia dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat mendapati unsur jenayah dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa, kita percaya ada unsur jenayah,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.

“Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” dakwanya.

Mayat Zayn ditemukan di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira pada 10 malam semalam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah membabitkan 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman di kawasan sekitar kelibat kanak-kanak itu dilihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *