Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tetamu lain bergambar di tapak upacara pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TENOM, SABAH – Projek Hidroelektrik Ulu Padas bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) sekaligus bakal menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek terbabit bukan sahaja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah tetapi juga merupakan antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini.

Menurutnya, sebagai penyumbang utama kepada campuran tenaga boleh diperbaharui, empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka boleh memenuhi peningkatan tenaga elektrik Sabah apabila siap kelak.

“Ini bukan sahaja akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga kita tetapi juga kritikal untuk pembangunan minyak dan gas Sabah dan Taman Perindustrian Kota
Kinabalu, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi dalam negeri kita.

“Selain itu, satu kajian juga sedang dijalankan agar empangan ini berpotensi untuk membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna sehingga 6,000 juta liter sehari (JLH),” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bertempat di Kampung Kungkular, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas adalah perkembangan penting dalam pembangunan infrastruktur demi menjamin keterjaminan tenaga elektrik untuk penduduk Sabah.

“Ini juga merupakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan kesediaan kita untuk memacu Sabah ke era kemajuan baru.

“Projek ini akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi tempatan dari segi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat dan keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, dengan memanfaatkan potensi hidro negeri yang sedia ada, projek Hidroelektrik Ulu Padas dijangka dapat memacu perubahan dan menjadi pemangkin kepada transformasi yang luas kepada negeri Sabah.

“Sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber tenaga di Sabah dengan melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) pada bulan September lalu.

Menurutnya, majlis pecah tanah projek itu merupakan tanda ikatan kerjasama strategik institusi awam dan swasta.

“Kehadiran Perdana Menteri yang melakukan upacara pecah tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, jelas melambangkan sokongan kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah, dalam usaha membangunkan infrastruktur asas demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *