Fahmi
Fahmi (tengah) semasa sesi temubual Sabah FM ditemani oleh Fauzi (kiri) dan Suhaimi (kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penyelesaian masalah internet di Sabah menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, isu tersebut telah dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kalau boleh saya akan selesaikan masalah internet di Sabah dulu dan ini menjadi keutamaan saya kerana ramai yang menyampaikan pandangan termasuklah Ahli-ahli Parlimen,” katanya semasa Program Temubual Bicara di Konti SabahFM, pada Isnin.

Semasa ditemuramah, beliau juga memaklumkan sambungan internet mudah alih 5G memanfaatkan industri perkilangan, pelabuhan, pusat pemprosesan seperti kilang penapisan dan lain-lain.

“Tempat-tempat seperti ini kita lihat sangat penting kerana kapasiti internet yang tinggi 5G juga mampu menampung peningkatan kadar sambungan internet pada peranti seiring permintaan yang dipacu oleh internet benda (loT).

“Penggunaan internet loT memasang censor kepada pelbagai peralatan mempercepatkan proses dan mengurangkan pembaziran.

“Keseluruhannya, ada isu yang perlu diselaraskan dengan beberapa TELCO yang mungkin mengenakan caj tinggi dan ini membantutkan usaha menggalakkan lebih ramai menggunakan 5G,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menyarankan rakyat Malaysia menonton segmen Biar Betul yang disiarkan di RTM setiap malam jam 7.58 untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Kadang-kadang kita tengok tapi kita tidak pasti bila sesuatu video diterbitkan sama ada baru atau lama, konteksnya betul ataupun tidak,” tambahnya lagi.

Beliau berkata usaha menyampaikan maklumat bagi menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah perlu dirancakkan menerusi media alternatif termasuk tiktok, Instagram, Facebook serta WhatsApp.

“Tidak terkecuali jaringan strategik bersama Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti Madani untuk hebahan informasi tepat, sahih dan betul, Tak Pasti Jangan Kongsi, Biar Betul,” tambahnya lagi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *