Fahmi
Fahmi ketika menyantuni penduduk Kampung Langsat Ranau ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Lebih 500 penduduk Kampung Langsat dekat sini, kini menikmati kemudahan internet setempat (hotspot) secara percuma.

Paling terkesan adalah golongan pelajar seperti Nurul Aleesya Najwa Zainol, pelajar Tingkatan 2 SMK Lohan yang teruja kerana menerusi kemudahan itu kelak membantunya serta rakan-rakannya menyiapkan tugasan dengan lebih cepat.

“Sebelum ini sekiranya ada tugasan yang diberikan oleh guru, saya dan rakan-rakan di kampung ini terpaksa ke pekan Ranau untuk mendapat kemudahan internet.

“Sekarang saya tidak perlu risau kerana kemudahan internet boleh diperolehi di kampung secara percuma,” jelasnya.

Gembira dengan perkembangan tersebut ialah penduduk kampung, Jolpardi Muhiddin, 47, yang merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana prihatin terhadap keperluan akses internet khas untuk komuniti kampung.

“Kampung ini sebenarnya tiada mempunyai akses internet jadi, dengan adanya kemudahan ini saya serta penduduk kampung dapat menerima maklumat dengan lebih mudah dan pantas,” katanya.

Turut gembira, beliawanis, Haini Linus, 24, yang berazam untuk memanfaatkan kemudahan tersebut dengan merancang untuk menjalankan perniagaan atas talian berkaitan kraftangan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melakukan lawatan ke Tapak Projek PoC Pemasangan Peranti Starlink di kampung terbabit bagi memastikan komuniti madani menikmati prasarana yang disediakan kerajaan.

Kampung Langsat merupakan lokasi kesembilan pemasangan peranti Starlink di Malaysia selepas UiTM Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Kampung Orang Asli Hulu Kemensah Gombak, Selangor; Kampung Orang Asli Tonggang Tambun, Perak; Kampung Orang Asli Sungai Temon Johor Bahru, Johor; Kampung Puak, Bau Sarawak; Rumah Menyimbang Anak Lima, Julau, Sarawak; Sekolah Kebangsaan Titom Kuala Lipis, Pahang dan Dewan Hajah Tuminah Bagan Datuk, Perak. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *