Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M.Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan ribuan umat Islam menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 2023 di Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menerusi sektretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang menyusun dan akan melaksanakan program-untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara tindakan kerajaan ialah memperuntukkan RM125 juta setiap tahun bagi Program Rumah SMJ bagi membina rumah untuk rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih di seluruh negeri.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata pembinaan tamadun yang gemilang bergantung kepada pencapaian sesebuah bangsa atau ummah.

Menurutnya, ini kerana prestasi ummah yang baik pasti melahirkan tamadun agung yang memberi kesejahteraan kepada umat sejagat.

Katanya, pembangunan insan merupakan aspek penting yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju SMJ juga selari dengan kerangka pembangunan insan Malaysia Madani ke arah “Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur” atau negeri baik yang mendapat keredhaan dan keampunan Tuhan.

Selain itu, katanya selaku pemimpin ummah, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan
pentingnya ukhuwah dan perpaduan dalam bermasyarakat.

Menurutnya, persengketaan di kalangan umat akan melemahkan dan merugikan yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan kehancuran.

“Dalam konteks negeri Sabah, semangat kekitaan dan perpaduan kaum perlu sentiasa
dijaga dan dipelihara.

“Sekarang adalah masa untuk kita mempertingkatkan lagi silaturrahim, membina ukhuwah dan kesepakatan kerana kita perlu mengatur masa hadapan yang lebih kondusif serta cemerlang.

“Ini selaras dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama,” katanya.

Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M.Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif dan ribuan umat Islam menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 2023 di Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *