Shahelmey
Shahelmey (empat kiri) dan Huang Shi Fang (tengah) memerhati pameran robot show ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia dan ketiga di Asia melaksanakan program kembara pameran sains interaktif, Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation”.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan kerjasama China Science Technology Museum dan Guangxi Science Technology Museum mengadakan siri jelajah tersebut di 14 daerah terpilih secara bergilir selama tiga tahun sehingga 26 September 2026.

“Pameran ini amat bermakna kerana Kerajaan Republik Rakyat China telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif baharu dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta berada di kedudukan ke-11 dalam Indeks Inovasi Global 2022 dan meletakkan mereka sebagai kuasa besar sains dan teknologi terkemuka dunia.

“Ini juga salah satu inisiatif KSTI memupuk minat pelajar terhadap STEM selain antara teras dalam agenda dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, saya mahu peluang kerjasama dengan China diperluaskan khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta lain-lain teknologi pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Pelancaran Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” Tour In Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Tanjung Aru, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya.

Hajiji turut memaklumkan Pelan Strategik 2022-2025 digubal sebagai panduan pelaksanaan inisiatif pemerkasaan ekosistem STI dan setakat ini kesemua 1,296 buah sekolah mendapat manfaat program yang dilaksanakan antaranya Program STEM Fiesta bersama 24 Pejabat Pendidikan Daerah, Karnival Sains Sabah, Kembara Sains Borneo serta Majlis Anugerah Sains Sabah.

“Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang tahun 2025,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif menyeru agar masyarakat setempat mengambil peluang datang ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru melawat pameran tersebut yang dijangka mampu menarik minat pelajar terhadap aliran sains.

“Lebih 60 bahan pameran dihubungkan dengan kurikulum yang ada di negara kita dan ini antara program bertujuan menjadikan sains menarik, mudah dan menghiburkan,” jelasnya.

Selain Tanjung Aru, kembara pameran tersebut akan berlangsung secara bergilir di Membakut, Beaufort, Sipitang, Tenom, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Ranau/Tambunan, Kudat, Kota Belud, Tuaran dan berakhir di Pusat U-Science Universiti Malaysia Sabah.

Turut hadir, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang, Setiausaha Kumpulan Parti dan Naib Pengerusi Persatuan Sains dan Teknologi Guangxi dan Muzium Sains dan Teknologi China, Na Xiang. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *