Gambar Harimau Belang yang sempat dirakamkan Che Fiti Zulhilmi di Jalan Gua Musang-Jeli, berhampiran Bukit Meranto pada Selasa…(Sumber Foto: Che Fiti Zulhilmi)

GUA MUSANG, KELANTAN – Seekor harimau belang ditemui berkeliaran di Jalan Gua Musang-Jeli, dekat Bukit Meranto di sini, pada Selasa, demikian menurut seorang pemandu lori bersama kelindan ketika menggunakan jalan berkenaan.

Dalam kejadian 4 petang, pemandu lori, Che Fiti Zulhilmi Che Leh, 22, sempat merakamkan aksi haiwan liar itu yang berjalan di atas jalan raya.

Che Fiti Zulhilmi yang dipetik Berita Harian berkata, ketika kejadian dia bersama kelindan, Mohd Amir Saari, 25, dalam perjalanan pulang dari Jeli menuju ke Gua Musang dan apabila sampai di lokasi kejadian dia melihat harimau belang terbabit.

“Semalam (Selasa) dua kali saya terserempak dengan harimau belang di lokasi yang sama.

“Pada pagi saya hanya sempat mengambil gambar pak belang terbabit. Tetapi pada petangnya saya sempat merakam video dan dikongsikan di kumpulan WhatsApp,” katanya ketika dihubungi media di sini, semalam.

Gambar Harimau Belang yang sempat dirakamkan Che Fiti Zulhilmi di Jalan Gua Musang-Jeli, berhampiran Bukit Meranto pada Selasa…(Sumber Foto: Che Fiti Zulhilmi)

Che Fiti Zulhilmi berkata, kejadian itu adalah pertama kali dia terserempak haiwan liar itu walaupun kerap menggunakan jalan terbabit setiap hari.

“Saya harap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat menangkap harimau belang ini kerana bimbang sekiranya ada kenderaan yang tidak nampak boleh menyebabkan kemalangan.

“Haiwan itu kelihatan berkeliaran di atas jalan utama dari Gua Musang ke Jeli,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu semalam.

“Pihak kami sudah ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan,” katanya.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *