Lktns
Pengerusi LKTNS, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin (tiga dari kanan) diiringi oleh Syaheddrul R Joddari (empat dari kanan) secara simbolik menyerahkan rumah PPRT kepada seorang penerima di majlis itu ( Sumber Foto: Ihsan LKTNS )

NABAWAN, SABAH – Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) melabur sebanyak RM62.7 juta tahun ini bagi pembangunan ladang-ladangnya di Wilayah Pantai Barat merangkumi daerah Keningau, Beaufort, Tenom, Kota Marudu, Tongod dan Nabawan.

Pengurus besarnya, Syaheddrul R Joddari berkata antara kerja-kerja pembangunan tanah yang dilaksanakan ialah Naiktaraf Jalan Perhubungan Ladang, Program Peningkatan Produktiviti Hasil Sawit, Naiktaraf Infrastruktur Ladang dan Perhubungan Utama, Jalan Perhubungan Desa, Naiktaraf Jalan Gravel Pertanian, Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya, LKTNS mensasarkan membina sebanyak 747 unit rumah dibawah PPRT tahun ini (2023) yang merangkumi 330 unit Bina Baru dan 417 unit Baik Pulih.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 247 unit PPRT telah siap untuk diduduki oleh golongan yang layak.

“Untuk daerah Nabawan sejak tahun 2021 sehingga tahun 2023 sebanyak RM19.2 juta telah dilaburkan untuk tujuan pembangunan tanah luar bandar melibatkan peserta-peserta LKTNS”.

“Untuk PPRT di Nabawan pula, bagi tahun 2021 dan 2022 sebanyak 25 unit telah siap untuk diduduki, manakala tahun 2023 mensasarkan sebanyak 65 unit dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM3.5 juta”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS Peringkat Wilayah Barat-Nabawan 2023 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Sabtu lepas.

Pengerusi LKTNS, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan merasmikan program itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Nabawan, Peter  Jiton.

Syaheddrul berkata, selain tanaman sawit LKTNS ketika ini telah mula mempelbagaikan kegiatan pertanian untuk mempelbagaikan punca peningkatan ekonomi dikalangan penduduk luar bandar.

Menurutnya, antara tanaman jangka masa singkat yang dikenalpasti dan telah dimulakan ialah tanaman Nanas MD2 dan rumput Napier untuk ternakan lembu.

Beliau berkata, bagi tanaman jangka masa panjang yang diusahakan ialah perladangan durian musang king dan kelapa landan.

Kepelbagaian tanaman ini perlu bagi kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk tanaman sawit disebabkan keadaan geografinya.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *