Ewon
Ewon sekitar program ramah mesra dan dialog bersama usahawan India di Little India ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

GEORGE TOWN, PULAU PINANG – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan agar penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi akan bertambah baik dengan perlantikan wakil usahawan masyarakat itu dalam agensi di bawah kementeriannya.

Ewon menyatakan, wakil usahawan India dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara.

Beliau menyatakan perlantikan tersebut tidak pernah dibuat sebelum ini dan membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menghargai sumbangan dan peranan masyarakat India dalam proses tadbir urus negara.

“Selepas berbincang dengan Timbalan Menteri saya, Senator Saraswathy Kandasami, saya telah kemukakan senarai cadangan perlantikan kepada YAB Perdana Menteri dan kemudiannya beliau bersetuju dengan perlantikan-perlantikan ini.

“Justeru, bagi pihak merajaan, saya amat berharap agar perlantikan ini dapat menambahbaik penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi di negara kita sepertimana harapan saya kepada semua kaum masyarakat di negara ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam program ramah mesra dan dialog bersama usahawan India di Little India, di sini, kelmarin.

Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (DPPIM).

Turut sama hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Exco Kerajaan Negeri DS Rajoo dan Kumaran Krishnan.

Ewon turut menyatakan penambahbaikan dalam tadbir urus Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional, agensi di bawah kementeriannya.

Beliau turut menyatakan kelulusan Kerajaan bagi membenarkan kouta 7500 pekerja asing bagi tiga sub sektor yang melibatkan penyertaan banyak usahawan masyarakat India iaitu tekstil, kedai emas dan kedai gunting.

“Pada 30 September ini, kementerian juga akan mengadakan sesi dialog belanjawan 2024 bersama dengan pemain industri keusahawanan dan koperasi di kalangan masyarakat India bagi mendapatkan input-input berkenaan belanjawan 2024.

“Pendekatan ini diharap dapat menambahbaik kerjasama dan komunikasi di antara Kerajaan dengan pemegang taruh dalam sektor keusahawanan dan koperasi,” katanya.

Terdahulu Ewon mengadakan kunjungan di beberapa kedai di sekitar Littla India dan turut berkunjung ke pejabat DDPIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *