Aadk
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mensasarkan 75 peratus kadar klien kekal dalam pemulihan susulan langkah dan usaha diambil agensi itu dalam memulihkan penagih dadah di seluruh negara.

Memetik sumber Berita Harian, AADK dalam satu kenyataan berkata, pada tahun lalu, agensi itu merawat pulih seramai 44,754 klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (‘RPDK’).

Beliau berkat, daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien dinilai dan hasil penilaian itu mendapati seramai 14,008 (72 peratus) klien mencapai tahap kepulihan.

“Pencapaian itu dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) yang ditetapkan.

“Menerusi jumlah itu juga, AADK pada tahun lalu berjaya mencapai paras 72 peratus kadar klien kekal dalam kepulihan seperti yang disasarkan berbanding hanya 65 peratus yang dicapai pada 2021,” katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini sehingga Julai lalu, seramai 8,931 klien dinilai di mana 7,446 klien kekal dalam kepulihan dan AADK menyasarkan sebanyak 75 peratus untuk kadar klien kekal dalam kepulihan tahun ini.

“AADK sentiasa memastikan pendekatan penyampaian perkhidmatan pencegahan dan penyampaian mesej antidadah yang digunakan adalah seiring dengan trend dan platform yang digemari oleh masyarakat terutamanya anak muda.

“Selain daripada program pendidikan pencegahan, ceramah, pameran statik dan pameran bergerak, AADK memperluaskan jaringan melalui kempen 1 Juta Skuad Antidadah.

“Usaha ini bagi meningkatkan kesedaran semua pihak berhubung kesan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang melalui program yang digerakkan sukarelawan Agensi AADK,” katanya.

Menurut kenyataan itu, AADK juga mempunyai saluran perkhidmatan baharu iaitu Perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan Bergerak atau Mobile Recovery Treatment (MRT AADK) yang dilaksanakan secara bergerak di luar ‘setting’ AADK dan berkonsepkan ’boutique service’ dengan tagline “AADK Kepada Anda.”

“Pelaksanaan MRT AADK menggunakan pendekatan berdasarkan keperluan kepulihan klien, lebih fleksibal, terbuka dan menepati kumpulan sasaran yang dilancarkan pada Mei tahun lalu,” katanya.

Bagi merealisasikan perkhidmatan ini, katanya, pasukan pakar MRT AADK dilantik dalam kalangan pegawai pemulihan AADK untuk memberikan perkhidmatan kepada kumpulan sasar termasuk klien di kawasan pedalaman, banduan dadah di penjara dan agensi lain yang memerlukan perkhidmatan.

“Perkhidmatan ini bermula pada tahun lalu hingga Jun lalu dan seramai 5,052 orang menerima akses perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah melalui saluran perkhidmatan MRT AADK.

“Impak perkhidmatan ini memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan merawat pulih penagih dadah dengan lebih berkesan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *