Merdeka
Suasana ketika majlis Hari Kebangsaan berlangsung Jalan Tun Fuad Stephens ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 20,000 orang hadir memeriahkan Acara Perbarisan Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2023.

Majlis yang berlangsung diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens itu mula dipenuhi pengunjung sekitar jam 6.30 pagi bagi menyaksikan perarakan masuk 114 kontinjen perbarisan dan 28 kategori kenderaan.

Program tersebut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag.

Turut hadir, Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya serta Menteri-Menteri Kabinet Sabah, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Sejurus tiba, Tun Juhar yang menerima tabik hormat diraja daripada Mejar Mohd Adam Embi yang mengetuai  Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja Sandakan,  kemudiannya memeriksa KKU yang terdiri daripada 110 orang anggota dan tiga pegawai.

Seterusnya, pertunjukan terbang lintas hormat (fly-fast) yang dikendalikan oleh Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan  helikopter yang membawa bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh empat anggota TLDM dan nyanyian lagu, “Negaraku” dan “Sabah Tanahairku” diikuti lafaz ikrar oleh 14 anggota badan beruniform yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton.

Selepas itu, menyusul persembahan koir oleh 46 orang daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah Credit yang mendendangkan lima lagu iaitu “Sabah Maju Jaya”, “Integriti”, “Malaysia Madani”, “Jalur Gemilang” dan “Malaysia”.

Ia disusuli acara perarakan masuk Jalur Gemilang dan bendera Sabah masing-masing oleh Tentera Darat Malaysia dan TLDM, kemudian perarakan bendera semua negeri dan bendera tema “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Setelah itu, 114 kontinjen perbarisan yang menyertai pertandingan berarak masuk antaranya Sekolah Henry Gurney, Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut, Desa Group of Companies, Persekutuan Pengakap Malaysia dan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah.  

Suasana di Dataran Bandaraya bergemuruh apabila perarakan kenderaan yang terdiri daripada 28 kategori kenderaan antaranya Kembara Merdeka Jalur Gemilang Jabatan Penerangan Sabah, Grab, Kelab Volkswagen Klasik, Sabah Big Bikers Association, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, PDRM, Tentera Darat Malaysia dan banyak lagi memeriahkan dengan pertunjukan kenderaan masing-masing.

Turut memeriahkan Hari Kebangsaan tersebut adalah persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan artis-artis tempatan.

Acara penutupan majlis ialah KKU masuk semula sebelum keberangkatan Tun Juhar serta tetamu kenamaan lain beredar meninggalkan majlis. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *