Polis Kanada telah mendakwa seorang chef hotel, Kenneth Law, 57, kerana dipercayai menjual bahan berkenaan secara dalam talian untuk membantu orang membunuh diri…

WELLINGTON – Pihak berkuasa New Zealand sedang menyiasat kes membabitkan sejumlah kematian dikaitkan dengan seorang lelaki Kanada yang didakwa menjual bahan membantu orang membunuh diri di 40 buah negara di serata dunia.

Polis Kanada telah mendakwa seorang chef hotel, Kenneth Law, 57, kerana dipercayai menjual bahan berkenaan secara dalam talian untuk membantu orang membunuh diri.

Polis Britain juga sedang menyiasat kematian 88 orang yang membeli bahan berkenaan daripada laman sesawang di Kanada.

Memetik laporan AFP, mahkamah Koroner New Zealand mendakwa bahawa pihak mereka telah menerima laporan kematian yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti seorang lelaki Kanada, yang didakwa oleh pihak polis Kanada.

Bagaimanapun, jurucakap mahkamah tidak dibenarkan untuk menyatakan jumlah kematian yang sedang disiasat.

“Memandangkan perkara itu kini masih dalam siasatan, tiada maklumat lanjut disediakan,” kata jurucakap itu.

Pihak berkuasa di Kanada telah memfailkan sebanyak 14 pertuduhan terhadap Kenneth, termasuk 12 pertuduhan berhubung kes di wilayah Ontario.

Polis Kanada mendakwa lebih daripada 1,200 bungkusan bahan yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan makanan mungkin telah dihantar ke lebih 40 negara.

Sementara itu, siasatan mengenai kes sedemikian juga sedang dijalankan di Amerika Syarikat (AS), Itali dan Australia.

Terdahulu, Kenneth, yang bekerja di sebuah hotel di Toronto, ditahan pada Mei lalu dan peguamnya mendakwa bahawa lelaki itu berhasrat untuk mengaku tidak bersalah.

Peguam Matthew Gourlay memaklumkan kepada AFP bahawa mereka kini berada pada peringkat awal prosedur pendakwaan, namun anak guamnya itu berhasrat untuk membela diri terhadap pertuduhan ke atas dirinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *