Rela
Tangkap layar video seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai perbarisan lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai perbarisan lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini pagi tadi.

Memetik sumber Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati anggota Rela lelaki berusia 53 tahun itu telah terjatuh dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan pada pukul 10 pagi

“Pihak polis telah menerima maklumat berhubung kematian lelaki tersebut di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini pada pukul 12.25 tengah hari.

“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, telah dikejarkan ke HTJ dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital lebih kurang pukul 10.30 pagi.

Terdahulu sebuah video berdurasi 32 saat memaparkan seorang anggota Rela telah terjatuh ketika perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Seremban sebelum dibantu beberapa rakannya telah tular di media sosial Facebook dan WhatsApp.

Arwah yang juga merupakan Ketua Kontinjen Rela Negeri Sembilan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2023 telah rebah semasa berbaris melintasi pentas utama.

Menurut Arifai, proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa disebabkan masalah jantung Coronary Artery Occlusion dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *