Jpka
Jais bergambar bersama warga KK Auto Detailer Sdn Bhd

PAPAR, SABAH – Program rintis Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dengan kerjasama rakan strategik KK Auto Detailer Sdn Bhd satu inistiatif memberi kemahiran mencuci kereta kepada pelajar orang kurang upaya (OKU).

Pengarah JPKA Sabah, Jais Asri berkata, pihaknya mengambil tindakan memberikan latihan elektif kepada pelajar OKU di Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU Kimanis sebagai tambahan kepada latihan asas yang ditawarkan di pusat ini.

“Program ini mula dilaksanakan selepas rakan strategik KK Auto Detailer Sdn Bhd mengutarakan idea bernas bagi membantu meningkatkan tahap kemahiran golongan OKU di sini.

“Usaha ini diterima baik sebelum dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran yang dilihat mampu menambah kemahiran pelajar apabila menamatkan kursus di kompleks ini kelak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemahiran yang diberikan kepada pelajar ini adalah sebagai khidmat keperluan semasa bagi membolehkan lepasan pelajar mudah dipasarkan.

“Dengan adanya kemahiran ini, pelajar mampu meneruskan kehidupan di luar berbekalkan kemahiran yang ada untuk terus bersaing dengan orang ramai dalam bidang pekerjaan mencuci kereta,” katanya.

Menurutnya, pihak JPKA berterima kasih dengan rakan strategik KK Auto Detailer Sdn Bhd dengan usaha prihatin membantu pelajar OKU mempersiapkan diri ke alam pekerjaan.

“Kita harapkan perkongsian ini akan diteruskan dengan skop yang lebih besar termasuk pada Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneruskan program seumpama di masa akan datang.

“Perancangan ini termasuklah meneruskan program sama di daerah lain termasuk Sandakan dan Tawau.

“Kita juga mempunyai perancangan lain termasuk mewujudkan program penjagaan diri membabitkan bidang kecantikan iaitu penjagaan kuku serta bidang urutan atau refleksologi,” katanya.

Menurutnya JPKA turut mengalu-alukan NGO atau pihak syarikat lain untuk menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan OKU dalam bersama-sama menjalani kehidupan di luar.

“Dengan adanya program seumpama ini, golongan OKU akan mempunyai peluang pekerjaan yang luas dan saya minta semua pihak untuk bersama-sama memberi sokongan agar golongan OKU tidak tersisih.

“Ibu bapa juga disaran untuk menghantar anak OKU kepada pihak kebajikan bagi membolehkan mereka diberi latihan yang sesuai berikutan golongan OKU juga adalah aset pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus KK Auto Detailer Sdn Bhd Amelson Ng Jing Sheng berkata, usaha itu diberikan berikutan pihaknya prihatin terhadap nasib pelajar OKU yang akan menjalani kehidupan mandiri di luar selepas menamatkan latihan.

“Sepanjang program diadakan, kami memberikan pengetahuan serta kemahiran sepertimana yang dipraktikkan di dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Disebabkan tempoh pengajaran program baharu dilaksanakan dalam peringkat awal iaitu tempoh dua minggu, kakitangan KK Auto Detailer Sdn Bhd memberikan pendedahan terhadap kemahiran mencuci kereta dengan cara yang betul dan efektif agar kenderaan tidak dicuci tidak mengalami kerosakan.

“Selepas pelajar mendalami kemahiran ini, kita akan mendedahkan mereka ke peringkat seterusnya,” katanya.

Tambahnya, selepas pelajar menamatkan kursus di sini, pihak syarikat boleh memberikan peluang pekerjaan di dalam syarikat bagi memastikan mereka mampu menjalani kehidupan sendiri.

Katanya sepanjang program dijalankan, pihaknya boleh melaksanakan sesi pengajaran dengan lancar berikutan pelajar mampu memahami teknik yang diajar dengan baik.

“Kita harapkan agar lebih ramai pelajar yang akan mengikuti program ini bagi memastikan lebih ramai pihak yang dapat dibantu terutama dalam memenuhi keperluan harian mereka.

“NGO atau pihak berkepentingan lain juga diharap dapat mengambil inisiatif mengadakan program sama agar lebih ramai pelajar OKU dapat dibantu terutama dalam menjalani alam pekerjaan dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar Mohd Rabbani Rosdi Jeminis, 21, yang mengambil kursus kemahiran komputer berkata program elektif mencuci kereta dipilih berikutan dia melihat peluang mudah untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang ini.

“Saya mempelajari teknik mencuci kereta di bahagian pengendalian mesin cuci dan berjaya memahirkan diri dalam tempoh empat hari.

“Selepas menamatkan kursus di sini, saya akan menunggu panggilan kerja dan mengaplikasi kemahiran yang diperoleh di sini.

“Terima kasih kepada pihak KK Auto Detailer Sdn Bhd kerana memberi peluang kepada kami dalam kemahiran mencuci kereta ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *