Perarakan
Sebahagian aset pasukan pertahanan awam semasa raptai sambutan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Aksi kawad balik kuang atau backflip dijangka bakal menarik minat pengunjung dalam Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri, Khamis ini.

Aksi kawad yang tular di media sosial itu dipersembahkan oleh kontinjen Sekolah Henry Gurney (SHG) yang dianggotai 33 pelajar.

Kontinjen SHG merupakan antara 13 pasukan yang bersaing dalam pertandingan perbarisan kategori sekolah.

Selain SHG, pertandingan perbarisan kontinjen turut disertai oleh 111 kontinjen daripada sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik Sabah dan jabatan kerajaan.

Turut mencuri tumpuan, perarakan kenderaan antaranya terdiri daripada aset-aset Polis DiRaja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan 39 jenis kenderaan Tentera Darat Malaysia selain kenderaan-kenderaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023, Persatuan Penghantar dan E-Hailing Negeri Sabah, Kelab Berbasikal Retro Membakut, Kelab Volkswagen Klasik Sabah dan Sabah Big Bikers Association.

Oleh itu, orang ramai dijemput untuk hadir memeriahkan sambutan yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens mulai seawal jam 7.30 pagi. — JABATAN PENERANGAN SABAH

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *