Hajiji
Hajiji dalam sesi pertemuannya bersama SESB ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri sedang berusaha mengambil langkah bagi mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah ketika ini.

“Isu air dan elektrik merupakan isu berterusan yang dimana ketika ini kerajaan negeri mengambil langkah bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya berharap rakyat akan memahami situasi ini dan sana menyeru kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan isu tersebut.

“Pagi tadi, saya memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Mohd Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan langkah segera dan akan datang bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang membebankan ramai orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Turut hadir dalam sesi itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Mengulas mengenai isu bekalan air, Hajiji berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong untuk mengambil tindakan drastik bagi memperbetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak hanya mengambil langkah untuk menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik malah juga merancang pelan kontingensi.

“Kita sedang melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan perkara itu kerana kita juga serius berusaha untuk menarik pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini penting untuk pelabur.

“Kita telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco dan Esteel dan kami mahu melihat lebih banyak lagi.

“Sabah telah menyediakan pelan tindakan untuk membetulkan isu-isu ini dan dengan jaminan dan komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah, saya yakin akan ada penyelesaian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *