Aedes
Gambar hiasan

KOTA KINABALU, SABAH – Taman Ridgeview Ph 12 di Kepayan Ridge, sini, menjadi kawasan hotspot demam denggi selepas wabak itu dikesan sebanyak tiga kali dalam tahun ini.

Menurut Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Pathman Arumugam, wabak yang pertama kali berlaku di kawasan berkenaan ialah pada 9 Februari hingga 2 April.

“Wabak ini berlangsung selama 52 hari dan berstatus ‘hotspot’ kerana wabak demam denggi lebih 30 hari yang melibatkan 21 kes demam denggi.

“Wabak demam denggi terkini, yang bermula pada 20 April dan masih belum tamat lagi, merekodkan 11 kes demam denggi.

“Sepanjang aktiviti kawalan yang dilaksanakan, pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga turut sama menyertai Operasi Bersepadu yang telah dijalankan sebanyak dua kali,” katanya.

Pathman berkata jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di Sabah pada tahun ini sebanyak 640 kes.

Jumlah itu meningkat sebanyak 206 peratus berbanding kumulatif sehingga Minggu Epid 19 tahun 2022 (209 kes). Sebanyak SATU wabak telah dilaporkan pada Minggu Epid 19/2023.

“Jumlah kumulatif wabak denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epid 13/2023 adalah 69 wabak. Tiada kematian denggi dilaporkan pada tahun ini sehingga Minggu Epid 19/2023,” katanya.

Beliau menasihati penduduk agar memainkan peranan dengan memastikan menjalankan aktiviti yang memfokuskan kepada aktiviti anti denggi.

Di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, premis yang dijumpai dengan pembiakan Aedes, kompaun maksima RM500 boleh dikenakan kepada pemunya premis tersebut.

Pemilik boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500, dengan tindakan mahkamah akan dikenakan, denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau keduaduanya sekali, sekiranya berulang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *