Rawja
Jakaria (tengah) bersama Suhaimi (dua dari kiri) dan peserta program ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 100 peserta dalam kalangan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program Pengenalan Memanah Tradisional Percuma 2023 anjuran Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW) UMS dan Rawja Archery PLT di pantai UMS, di sini pada Ahad.

Pengarah Urusan Rawja Archery PLT, Md Suhaimi Sapiee berkata, program tersebut antara lain bertujuan untuk mewujudkan minat peserta dalam mempelajari ilmu sukan memanah tradisonal.

Katanya, ilmu asas yang betul, penting bagi semua individu yang ingin menceburi sukan memanah tradisional.

“Tanpa dipandu ilmu yang betul, aktiviti memanah ini boleh mengundang bahaya serta mencederakan diri sendiri dan juga orang lain.

“Program ini dilihat telah mencapai objektifnya memandangkan hampir semua peserta yang terlibat menunjukkan rasa minat dengan acara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengarah CIEW, Dr. Borhan Seraya Abdullah berkata, pihaknya akan menjadikan program ini sebagai program tahunan dan berharap ia akan mendapat sambutan daripada Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) di UMS.

“Hampir semua peserta yang terlibat tertarik untuk terus mempelajari ilmu memanah tradisional dan berminat menyertai kejohanan besar yang bakal berlangsung di UMS kelak,” tambahnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Norhanieyati Norhaizat berkata beliau amat teruja dengan program yang dianjurkan dan akan menjadikan sukan memanah sebagai hobi pada masa akan datang.

Untuk rekod, hadiah pemanah lelaki terbaik dan wanita terbaik ditaja oleh pihak ADABI Sabah yang turut membuka foodtruck di lokasi.

Hadir sama, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Dr Jakaria Dasan; Timbalan Pengarah PKK, Dr Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor; dan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Profesor Madya Dr Sahipudin Saupin.

Rawja
Jakaria (tengah) bersama Suhaimi (dua dari kiri) dan peserta program ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *