Nizam
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ( Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat )

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) cuba mengelirukan rakyat dengan membandingan nilai eksport Sabah dan Sarawak pada tahun 2022 kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Katanya, 73.4 peratus jumlah nilai itu adalah daripada minyak mentah, minyak kelapa sawit dan gas LNG dan tidak seperti nilai eksport negeri Sarawak.

“Sarawak mencatatkan dagangan keluaran industri pembuatan bernilai lebih separuh dari jumlah nilai eksport sabah.

“WARISAN cuba menyembunyikan hasil industri pembuatan negeri Sarawak yang sebenarnya adalah daripada kilang-kilang pembuatan di negeri itu yang telah wujud berdekad lamanya.

“Pemimpin WARISAN sengaja membutakan mata mereka dengan menafikan kejayaan pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam meningkatkan ekonomi negeri walaupun baru mentadbir kerajaan selama 2 tahun setengah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Nizam berkata kejayaan kerajaan GRS mengadakan industri pembuatan hiliran seperti kilang pembuatan kerajang tembaga Korea Selatan, SK Nexilis dan kilang pemprosesan pasir silika Kumpulan Kibing mencipta ribuan peluang pekerjaan ribuan untuk rakyat Sabah disamping limpahan aktiviti ekonomi.

“Apabila keluaran hiliran ini beroperasi sepenuhnya, maka barangan akan dieksport, dan nilainya akan tercatat pada nilai dagangan negeri pada masa akan datang.

“Berbanding kerajaan WARISAN yang mentadbir selama 27 bulan, mereka telah gagal mentransformasikan ekonomi negeri Sabah.

“Tidak ingatkah pemimpin parti WARISAN bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif 9.5 peratus pada tahun 2020 dan diwariskan pada kerajaan GRS?

“Sedangkan semasa WARISAN mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2018, mewarisi pertumbuhan ekonomi di atas lapan peratus?” soalnya.

Beliau mengaku bahawa nilai eksport negeri Sabah pada tahun 2022 yang berjumlah RM77.2 bilion sememangnya lebih 70 peratus datang daripada hasil minyak mentah,minyak kelapa sawit dan Gas LNG.

“Akan tetapi di masa akan datang, nisbah itu akan berubah, apabila nilai eksport daripada industri pembuatan yang menuju penyiapan dan mula mengeluarkan keluaran, dan pada gilirannya nilai dagangan Sabah bukan lagi RM118.1 bilion akan tetapi berkali ganda.

“Pewujudan kilang berasaskan pembuatan tidak sama seperti menanam jagung, tiga bulan boleh dituai hasil. Kilang industri memerlukan masa,” tegasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *