Bam
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KUALA LUMPUR – PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat pusingan u apabila memberikan tawaran kepada Datuk Misbun Sidek menghabiskan kontrak sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) sehingga hujung tahun ini.

Memetik sumber Sinar Harian, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang melangkaui keputusan dibuat Jawatankuasa Khas baru-baru ini, berkata, tawaran dibuat kepada Misbun itu membolehkannya untuk membimbing pemain remaja ke Kejohanan Remaja Dunia 2023 di Spokane, Washington dari 25 September hingga 8 Oktober depan.

Sehubungan itu, beliau yang tampil untuk menjernihkan keadaan, meminta maaf bagi pihak BAM kepada Misbun dan menyatakan isu tersebut timbul susulan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak sebelum ini.

“Untuk tawaran kembali jawatan Misbun dan jika beliau tidak berminat, boleh jumpa kita dan jawatankuasa khas bersedia bertemunya bagi menyelesaikan secara baik supaya kita tidak mahu ada masalah selain enggan ada pihak rasa teraniaya dan dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Norza berkata, beliau sebenarnya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam, yang mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat kegagalan di Kejohanan Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas, bahawa Misbun menerima keputusan untuk ditamatkan kontrak lebih awal.

Sekiranya Misbun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, Norza berkata, beliau akan berjumpa dengan bekas pemain negara itu bagi meleraikan permasalahan yang timbul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *