Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran (kiri) ketika hadir pada Majlis perjumpaan khas bersama ahli parti MIC di Ibu Pejabat MIC pada Rabu…(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran memberi jaminan parti itu akan membantu dalam gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon-calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Parti komponen Barisan Nasional (BN) itu juga menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk tempoh lima tahun ini. 

Perkara itu dizahirkan Vigneswaran dan kesemua kepimpinan MIC yang turut berdiri, sebagai simbolik sokongan mereka, pada satu majlis pertemuan khas dengan Perdana Menteri di ibu pejabat parti itu, di sini semalam.

Ia turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Vigneswaran dalam sidang media berkata pihaknya akan turun padang bagi membantu calon BN-PH terutama di kawasan yang memiliki majoriti pengundi India.

Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

– BERNAMA




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *