Yaakob
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

BEAUFORT, SABAH – Projek Solar Berskala Besar (LSS) milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Beaufort akan mula beroperasi pada 23 Disember, 2023 dan menyumbang tenaga boleh baharu (RE) ke grid Sabah.

LSS itu akan membantu untuk meningkatkan margin simpanan tenaga grid Sabah dan usaha ini sejajar agenda kerajaan memperkasakan penjanaan tenaga yang lebih mesra alam.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar, berkata ketika ini Sabah mempunyai margin simpanan tenaga yang rendah iaitu sebanyak 12.1 peratus menyebabkan bekalan elektrik kurang stabil.

“LSS tersebut dikendalikan oleh Beua Energy East Sdn Bhd akan beroperasi dengan kekuatan 16,992 panel solar dan mencapai Tarikh Awal Operasi (IOD) dengan penjanaan sebanyak 6.0MWc,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah melaksanakan satu lawatan kerja ke tapak LSS di Beaufort pada Jumaat.

Lawatan tersebut adalah susulan kepada lawatan kerja awal yang dilaksanakan ke tapak LLS di Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Katanya, pengoperasian LSS ini juga akan dapat membantu menangani masalah catuan bekalan yang kerap disebabkan kekurangan kapasiti penjanaan grid.

“Ini akan meningkatkan margin rizab grid SESB ketika waktu beban puncak.

“Secara tidak langsung, pengoperasian LSS ini juga seiring dengan pembangunan tenaga hijau dan boleh diperbaharui di Sabah,” tambahnya.

Loji LSS tersebut adalah antara 10 syarikat pembida di bawah skim LSS1 dan LSS2 yang dianugerahkan kontrak dan menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) dengan SESB pada Ogos 2021.

Kesemua syarikat yang dilantik sebagai pemaju LLS1 dan LLS2 juga akan mengoperasikan loji solar masingmasing bagi membantu menambah bekalan tenaga ke grid Sabah secara berperingkat sehingga Jun 2024.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *