Isham
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mengesahkan sudah menerima surat pemecatannya daripada parti itu yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp, lewat malam tadi.

Memetik sumber Berita Harian, beliau turut memberikan salinan surat pemecatan itu kepada media yang mana surat bertarikh 8 Disember itu ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Ini surat pemecatan saya yang saya terima melalui WhatsApp lewat malam semalam,” katanya dalam mesej ringkas kepada media.

Surat itu antara lain menjelaskan Mesyuarat Majlis Kerja tertinggi UMNO pada 6 Disember memutuskan pemecatan itu yang berkuatkuasa serta meryta mengikut Fasal 10.6 di baca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan yang melanggar etika ahli.

Kelmarin, Isham memaklumkan beliau belum menerima sebarang surat pemecatan walaupun sudah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT.

Rabu lalu, dilaporkan MKT UMNO mengumumkan pemecatan Isham Jalil yang sudah menjawat Ahli MKT bagi penggal kedua.

Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO sebelum ini dipilih sebagai Ahli MKT sebaik berakhir pemilihan parti itu awal tahun ini.

Dengan pemecatan itu, Isham kini sebaris dengan beberapa bekas pemimpin UMNO yang turut dipecat seperti bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

UMNO juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Pemecatan itu dipercayai ada kaitan dengan kelantangan Isham mengkritik UMNO yang kini bekerjasama dengan DAP selepas UMNO-Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, pada Selasa lalu, Isham menyatakan kekalahan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman didakwa berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP.

Beliau mendakwa, UMNO terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti itu yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua DAP’.

Katanya, ada segelintir pemimpin parti itu bertindak ‘lebih DAP daripada DAP’, dengan mempromosikan DAP secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *