Kpdn
Georgie (dua kiri) melancarkan initiatif Jualan Rahmah 99 Speedmart sempena Krismas ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kesemua 231 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negeri ini menawarkan Inisiatif Jualan Rahmah Krismas selama 26 hari sehingga 3 Januari 2024.

Jualan ini melibatkan sebanyak 36 jenis item pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, tepung, air minuman, serbuk pencuci, minyak masak botol 5kg, Milo 1kg, dan sebagainya yang masing-masing ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga jualan sedia ada.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) Negeri Sabah, Georgie Abas, telah melancarkan Jualan Rahmah Krismas, 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd bertempat di Outlet 99 Speed Mart, 1 Borneo Hypermall Kota Kinabalu pada Jumaat.

Turut hadir semasa pelancaran adalah Encik Foo Meng Keet, General Manager (East Malaysia), dan Encik Lim Yu Kiun selaku Senior Manager Branches Operation (East Malaysia), 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd.

“Inisiatif ini merupakan Jualan Rahmah kali kedua ditawarkan oleh 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. semasa perayaan bagi tahun ini selepas Jualan Rahmah sempena Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

“KPDN melihat tambahan diskaun di bawah Jualan Rahmah Krismas yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart ini sebagai tawaran yang berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Sabah, seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

“Seterusnya, Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut Hari Krismas yang bakal tiba.

“KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Sabah dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” Georgie berkata dalam sebuah kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau berkata KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.

“KPDN amat berharap usaha seperti ini mampu menarik perhatian pengguna di negeri Sabah, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan.

“KPDN Sabah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd di atas inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah dan berharap lebih banyak pemain industri yang lain akan turut sama melaksanakan inisiatif sedemikian,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *