Ewon
Anwar (tiga kanan) ketika merasmikan HPPK2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Pelan Pembangunan Penampang 2024 – 2035 menjadi input dalam penyediaan rancangan pembangunan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata pelan tersebut adalah perkara pertama yang beliau laksanakan sebaik sahaja mendapat mandat rakyat pada tahun lalu.

“Pelan pembangunan ini akan menjadi input kepada rakyat Penampang dalam penyediaan rancangan-rancangan pembangunan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Penyediaan pelan tersebut dijayakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah melibatkan kajian dan sesi libat urus dengan rakyat Penampang dalam tempoh enam bulan menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen tahun ini.

“Sesungguhnya inilah pendekatan saya untuk menguruskan pembangunan di Penampang dengan lebih terancang dan bersepadu,” katanya semasa Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (HPPK2023) di sini, pada Khamis.

Pelan berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ewon juga memohon peruntukan khas RM7 juta ringgit untuk memulakan projek-projek berskala kecil dan sederhana yang boleh memberi manfaat segera kepada rakyat Penampang.

“Tujuannya adalah bagi penyelenggaraan dan pembaikpulihan parit, sungai dan kerosakan akibat banjir serta pembinaan jalan baharu terutama daripada Kampung Timpangoh Babagon ke Kampung Putaton Inobong.

“Peruntukan tersebut juga adalah untuk pembangunan rumah-rumah ibadat dan pembinaan asrama-asrama desa untuk para pelajar di beberapa sekolah di Penampang,” ujarnya.

Sementara itu, Ewon menjelaskan bagi projek-projek berskala besar seperti tebatan banjir dan pembinaan sekolah baharu akan disusuli secara bertulis dan konsisten.

“Ini termasuklah pembinaan semula dewan masyarakat, pembangunan pekan Kepayan, penaiktarafan kemudahan utiliti dan pembangunan lain.

“Saya juga berharap projek-projek tertangguh yang kini dalam proses perolehan dan konsultansi seperti Tamu Donggongon, Klinik Kesihatan, Bekalan Air Luar Bandar Moyog, naik taraf jalan dan lampu jalan dapat dilaksanakan dengan segera,” tambahnya lagi.

Beliau menegaskan keperluan-keperluan pembangunan perlu dilaksanakan sesuai dengan kepesatan pembangunan Penampang sebagai “second city to Kota Kinabalu” dalam konteks Greater Bandaraya KK serta penaiktarafan Majlis Daerah Penampang sebagai Majlis Perbandaran. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *