Arifin
Ariffin (empat dari kiri) melancarkan gimik sistem e-kariah dan e-masjid ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Masjid perlu dijadikan pusat keilmuan dan institusi kecemerlangan umat Islam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata pengurusan masjid juga perlu lebih terbuka dan kreatif dalam merangka program bagi melahirkan ummah yang cemerlang.

“Masjid dan surau merupakan sebuah institusi yang berperanan sebagai pusat pembangunan Islam semua kegiatan ibadah serta berperanan sebagai pusat aktiviti yang memberikan manfaat kepada umat Islam dan masyarakat setempat.

“Justeru, umat Islam harus memantapkan lagi peranan masjid dalam usaha membangunkan ummah yang cemerlang memandangkan hubungan masyarakat Islam dan masjid tidak boleh dipisahkan,” ujarnya.

Arifin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam serta Pendidikan di negeri ini mencadangkan, dalam membangunkan masyarakat Islam kontemporari, pengurusan masjid mestilah bertindak proaktif untuk mengadakan program-program yang berkesan dan dinamik, di samping membangunkan perpustakaan yang lengkap dengan buku-buku.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Imam, Anugerah Penarafan Masjid Dan Surau Kariah (Mesra Musafir) Serta Anugerah Penarafan Masjid dan Surau Kariah (Kategori Kebersihan Tandas dan Ruang Wuduk) serta Anugerah Khas Penanda Aras Masjid.

Pada majlis berkenaan, Arifin menyampaikan Anugerah Khas Penanda Aras Masjid Negeri Sabah 2023 kepada Masjid Imam Awang Hashim, Sipitang yang meraih waran peruntukan pembangunan, sijil dan plak.

Turut disampaikan, Anugerah Tokoh Imam Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023, Imam Madil Mukadim dari Kota Belud yang menerima wang tunai, sijil dan plak.

Pada majlis yang sama, Ariffin turut melancarkan Sistem E-Kariah 2.0 dan E-Masjid yang dibangunkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah.

Kedua-dua sistem tersebut dibangunkan bagi memenuhi aspirasi Sabah Maju Jaya ke arah pelaksanaan perkhidmatan agensi kerajaan secara pendigitalan.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Yahya Hussin dan Timbalannya, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah JHEAINS Jumain Abdul Ghani.

Dalam perkembangan lain, Arifin memaklumkan, pihaknya meminta JHEAINS untuk mengkaji dan menambah sekolah integrasi memandangkan Sabah kini mempunyai dua buah sekolah sahaja.

Beliau turut menyeru sekolah-sekolah agama persendirian untuk mendaftar dengan MUIS ataupun JHEAINS agar pemantauan korikulum dan infra dapat dilakukan supaya bantuan yang sewajarnya dapat diberikan. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *