Arifin
Ariffin (kanan) menerima cendera hati daripada Jumain pada majlis itu ( Sumber Foto: Ihsan KSTI Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Islam Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) membuat kajian bagi penambahan Sekolah Agama Negeri Intergrasi (SANI).

Beliau berkata terdapat hanya dua buah SANI di Sabah iaitu di Kota Kinabalu dan Putatan yang mendapat permintaan di kalangan masyarakat.

SANI adalah aliran sekolah yang menggabungkan tiga kurikulum pembelajaran iaitu akademik, agama dan tahfiz.

Ianya menjadi pilihan ibu bapa untuk pendidikan anak-anak kerana tidak lagi perlu menghantar anak ke dua sekolah berbeza setiap hari.

“Saya harap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) dapat menambah satu atau dua buah lagi SANI di beberapa daerah yang terpilih bagi memenuhi permintaan masyarakat sekaligus memberi kemudahan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Tokoh Imam, Anugerah Masjid/Surau Kariah serta Pelancaran Sistem E-Kariah 2.0 dan E-Masjid di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Jumain Abdul Ghani berkata sistem E-Kariah 2.0 dan E-Masjid bertujuan memperkasa dan memberi kemudahan terhadap pentadbiran sedia ada.

“Pelaksanaan sistem E-Kariah bagi memudahkan JHEAINS memantau secara terus sebarang aktiviti termasuk pengurusan kewangan jawatan kuasa di semua masjid dan surau di wilayah ini.

“Ia melibatkan pemantauan secara langsung pihak kami bagi rekod pungutan tabung masjid setiap minggu termasuk ke mana wang itu dibelanjakan dan sebagainya, sekaligus mengelak penyelewengan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata fungsi E-Masjid juga sama dengan memudahkan pemantauan Jabatan atau Menteri terhadap sebarang perkembangan atau cadangan pembinaan masjid yang telah dimasukkan dalam sistem ini agar pelaksanaan dan pengurusan projek tidak tertangguh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *