Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M.Yahya dan jemputan lain bergambar bersama Ahli-ahli Dewan Belia Sabah (DBS) pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak semua anak muda Sabah bersama-sama berganding bahu membangunkan negeri Sabah dan sederap selangkah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau juga mengajak Ahli-ahli Dewan Belia Sabah (DBS) yang dipilih mewakili 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sabah terus memberikan sokongan dan dokongan kepadanya dan rakan-rakan dalam membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur.

Katanya, beliau akan memastikan kerajaan yang dipimpinnya terus melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah.

“Negeri Sabah tanah air tercinta ini adalah tanggungjawab kita bersama. Negeri ini tidak akan maju dalam erti kata yang sebenar sekiranya masih ada warganya terpinggir dalam pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Persidangan DBS, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama di Dewan Bangkuasi DUN Sabah, di sini, hari ini.

Persidangan DBS yang pertama itu telah berlangsung selama dua hari bermula pada 30 hingga 31 Oktober 2023, dan disertai oleh seramai 79 Ahli DBS, termasuk enam DUN Belia lantikan.

Sebanyak sembilan usul telah dipilih untuk dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Belia yang menyentuh pelbagai isu mendasarkan kepada kepentingan rakyat negeri ini khususnya golongan belia.

Hajiji berkata, beliau telah menerima usul-usul yang telah dibahaskan oleh Ahli DBS dan kerajaan negeri menghargai segala pandangan kritis, cadangan dan idea yang bernas.

“Saya mengambil maklum pelbagai kegusaran yang telah dibangkitkan oleh para Ahli DBS semasa perbahasan. Antaranya mengenai pembangunan infrastruktur asas luar bandar, eko-sistem pembangunan keusahawanan Sabah, Pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pemilihan ADUN Lantikan dalam kalangan belia yang diangkat dalam kalangan ahli DBS, isu perundangan, keselamatan, integriti, dan antarabangsa, peluang pekerjaan, Sabah Youth Hub yang memfokuskanpembangunan belia dan kepimpinan dan beberapa usul lain.

“Kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci usul-usul yang menjadi keutamaan dan keperluan untuk mengangkatnya ke Persidangan DUN Sabah atau dibincangkan di peringkat Kabinet Negeri Sabah,” katanya.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri juga memandang serius terhadap setiap cabaran yang dihadapi oleh golongan belia hari ini terutamanya kualiti kehidupan pasca COVID-19 yang melibatkan keseluruhan rakyat negeri ini.

Beliau berharap dengan wujudnya Dewan Belia dapat membantu golongan generasi muda menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, mengetahui dan memahami hak sebagai pengundi dan pemegang mandat dalam menentukan kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan.

Selian itu harus serta memastikan belia memberikan perhatian sepenuhnya serta tahu tanggungjawab terhadap pembinaan masa depan negeri dan negara.

Katanya, tanggungjawab yang dipikul oleh Ahli DBS bagi sesi 2023-2024 cukup berat dan mencabar demi untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang berketerampilan, berkebolehan, beropendidikan dan mempunyai wawasan untuk sama- sama menyumbang dalam pembangunan negeri ini khasnya dan negara amnya.

Menurutnya, penubuhan DBS merupakan manifestasi dan idea Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah hasil kolaborasi bersama Majlis Belia Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah.

“Ini selaras dengan peranan dan fungsi KBS Sabah untuk melaksanakan program-program kepimpinan di bawah program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) yang merupakan platform untuk para belia mendapatkan latihan dan bimbingan.

“Ini bagi membangkitkan potensi diri sebagai belia kompeten dan berwibawa bagi menjayakan misi Hala Tuju SMJ yang diperkenalkan oleh kerajaan masa kini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *