Ella
Ratu Rock Negara, Ella ( Sumber Foto: Ihsan Hitman Solutions )

KUALA LUMPUR – Sekitar 14,000 penonton hadir memeriahkan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Konsert Ratu Rock Negara, Ella itu dibawakan oleh Hitman Solutions melalui kolaborasi bernas bersama syarikat pengurusan Ella, RockQueen.

Konsert dimulakan dengan penampilan Ella dalam busana serba putih membawa bendera Palestin memberi simbolik solidariti terhadap rakyat negara itu yang sedang berdepan dengan kemelut kemanusiaan.

Sebelum konsert beraksi, persembahan montaj 35 tahun penglibatan Ella sepanjang berada dalam bidang seni dipersembahkan melalui kesan audio visual yang menarik dengan diiringi lagu Ulek Mayang.

Lagu pertama yang dipersembahkan, Risau menggamit memori kesemua penonton dengan sorakan yang gemuruh diikuti dengan Belenggu, Tiada Tangis Lagi, Sujud, Prinsip, Anak Patung, Retak, nggakPengemis Cinta, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Kitalah Bintang, Permata Biru, Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang dengan hampir 40 buah lagu kesemuanya.

Malam konsert turut diserikan dengan penampilan istimewa oleh Kaka Azraff yang merupakan anak saudara Ella menyanyikan lagu Bawaku Pergi bersama adik Ella sendiri, penyanyi era 90-an, Korie, dan kemudian kedua-duanya menyanyikan lagu Pergilah Sayang.

Selain ahli keluarga, suami tercinta Ella, Kapten Azhar Ghazali turut berduet romantis bersamanya melalui lagu Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti Hujan.

Kejutan yang paling ditunggu-tunggu oleh semua, kemunculan khas Datuk Awie berduet bersama Ella menyanyikan lagu Baldu Biru dan nyanyian solo oleh Awie sendiri melalui lagu hitnya, Penjara Misteri.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *