Dani
Pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani

BUKIT JALIL, SELANGOR – Pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memuji orkestra Malaysia lebih dari di Indonesia yang pernah bekerja dengan mereka.

Memetik sumber Harian Metro, Ahmad berkata demikian selepas sesi latihan untuk Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia Dewa 19 malam ini (29 Sept) di Axiata Arena.

“Saya sudah dengar latihan, nampaknya orkestra Malaysia lebih bagus daripada Indonesia. Kalau di Indonesia, orkestranya memang orang Indonesia asli (sejati).

“Kalau di sini saya dengar beberapa ahlinya adalah naturalisasi (orang asing). Ya orkestra bukan budaya kita. Jadi bila orang barat yang mainkan, akan lebih baik dan dihayati.

“Sama seperti mengaji apabila orang Arab lebih fasih berbanding orang kita,” katanya pada sidang media.

Beliau berpendapat persembahan dengan orkestra dari luar memberikan pengalaman berbeza dan bernilai kepada mereka.

“Muzik adalah makanan jiwa. Orkestra itu makanan jiwa. Kadangkala kami bermain muzik untuk hiburan belaka. Kali ini sebagai makanan jiwa.

“Di Indonesia menonton orkestra adalah budaya baru di sana. Di sana belum ada orkestra seperti Malaysia yang dibiayai oleh negara.

“Indonesia belum ada. Selepas ini mungkin ada,” katanya.

Sebanyak 34 buah lagu akan disampaikan pada konsert tersebut yang mana akan dikendalikan konduktor muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito, bakal diiringi seramai 54 pemuzik orkestra Malaysia.

Dewa 19 turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *