Nadma
Manu Bhalla (kiri) menyerahkan sumbangan aset ‘Forward Anesthesia Surgical Trauma’ kepada Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (kanan) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ( Sumber Foto: Bernama )

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), semalam menerima sumbangan aset perubatan bernilai RM6 juta dikenali sebagai Forward Anesthesia Surgical Trauma (FAST) daripada Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat (AS).

Memetik sumber Bernama, penyerahan aset itu dilakukan Kuasa Usaha Kedutaan AS, Manu Bhalla kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, dalam satu majlis yang diadakan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini.

Tengku Muhammad Fauzi berkata, aset FAST itu sebelum ini digunakan dalam pengoperasian Hospital Medan Malaysia semasa misi bantuan kemanusiaan di Turkiye, Februari lalu.

“Sebanyak 52 item yang terdapat dalam FAST ini merupakan peralatan perubatan yang digunakan untuk menjalankan pembedahan pesakit yang memerlukan bius penuh dan bius separuh,” katanya pada sidang media, di sini.

Sementara itu, Manu berkata, FAST membantu mengukuhkan hubungan antara orang awam dan tentera serta memberi peluang kepada kedua-dua negara bekerjasama dalam menangani krisis kemanusiaan di Malaysia dan seluruh dunia.

“Kedutaan Amerika Syarikat sangat menghargai hubungan kukuh kami dengan NADMA dan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang hanya mula diperkukuhkan sejak tercetusnya wabak COVID-19 pada 2020,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Manu berkata, AS dan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang dalam isu kesihatan awam, termasuk mengenal pasti kemunculan penyakit berjangkit dan ancaman menerusi tugas mereka di Sabah.

“Selain itu, di bawah program global USAID (Agensi Amerika Syarikat untuk Pembangunan Antarabangsa), kerajaan AS menyediakan US$200 juta untuk penyelidikan di Borneo sejak lebih sedekad lepas bagi mengesan dan memahami lebih mendalam penyakit berjangkit yang muncul daripada asal zoonotik.

“Pada masa ini, Institut Kesihatan Negara membiayai Hab Penyakit Berjangkit Baru Muncul – Kerjasama Penyelidikan Asia Tenggara yang berfungsi sebagai sistem amaran awal untuk wabak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *