Norlidah
Toh Puan Norlidah (tiga dari kanan) mengibarkan bendera sebagai gimik pelepasan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

BEAUFORT, SABAH – Program Magical Train Ride Bersama Toh Puan dapat membantu kaum wanita menjana pendapatan.

Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Sabah, Datuk Dr. Nuinda Alias berkata, program tersebut membuka peluang kepada kaum wanita untuk menjana pendapatan khususnya di lokasi-lokasi persinggahan utama.

“Program anjuran Puspanita ini julung kali diadakan dan kami amat berbesar hati atas kesudian Isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni turut bersama-sama dalam program ini.

“Selain mengeratkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan ahli PUSPANITA, program ini juga bertujuan untuk membantu kaum wanita memperkenalkan produk mereka sekaligus menjana pendapatan.

“Terdapat beberapa persinggahan utama iaitu di Stesen Keretapi Kinarut, Papar dan Beaufort dan di semua persinggahan ini, peluang dibuka kepada kaum wanita untuk menjual dan membuat demonstrasi produk mereka,” ujar Nuinda ketika ditemui selepas program berkenaan di Pusat Wanita Sabah Beaufort, pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Program berharap agar melalui program tersebut, ahli Puspanita dapat meningkatkan kemahiran mereka antaranya kemahiran berkomunikasi dan pengurusan program.

“Sepanjang persiapan untuk melaksanakan program ini, ahli yang terlibat perlu belajar dan menggunakan pelbagai kemahiran kerana program ini melibatkan kerjasama dengan jabatan-jabatan lain.

“Saya berharap agar kemahiran ini akan dapat membantu mereka dalam melaksanakan tugas-tugas seharian mereka sama ada bersama Puspanita ataupun di luar,” tambahnya.

Program yang disertai oleh lebih kurang 300 ahli Puspanita itu turut diserikan dengan kehadiran Yang DiPertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), Datuk Juliah Salag.

Menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer, Program Magical Train Ride Bersama Toh Puan itu memulakan perjalanan dari Stesen Keretapi Tanjung Aru dan berakhir di Stesen Keretapi Beaufort. — JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *