Mah
Logo Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan kesal tentang insiden di mana seorang pelancong menemui kamera pengintip di dalam soket di tempat penginapan mereka baru-baru ini.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, persatuan itu menegaskan insiden tersebut berlaku di Airbnb dan bukan di hotel seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak laman media.

“Ia sangat penting bagi pengguna untuk membezakan antara hotel berdaftar dan dikawal selia dan jenis penyedia penginapan lain.

“Hotel dijangka mematuhi garis panduan dan peraturan yang ketat untuk memastikan
kesejahteraan para tetamu.

“Adalah penting untuk memahami bahawa  Airbnb tidak tertakluk kepada peraturan dan piawaian yang sama seperti hotel berlesen.

“Oleh itu, insiden malang yang dilaporkan itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan industri hotel yang lebih luas kerana tindakan sedemikian boleh merosakkan kepercayaan dan integriti sektor penginapan kami secara keseluruhan,” katanya.

Tambahnya, mereka berasa simpati yang mendalam kepada pelancong yang mengalami pengalaman teruk sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran privasi dan bertentangan dengan prinsip bertanggungjawab dan layanan beretika.

“Sebagai wakil industri perhotelan, MAH Sabah dan Labuan, menggesa semua penyedia penginapan, tanpa mengira klasifikasi mereka, untuk mengutamakan keselamatan dan privasi tetamu.

“Kami menggalakkan pelancong untuk memilih pilihan penginapan dengan bijak, berwaspada tentang persekitaran mereka, dan melaporkan sebarang kebimbangan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *