Arifin
Arifin (tiga dari kiri, duduk) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat dan penerima dermasiswa ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 52 pelajar tajaan dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan berlepas ke Mesir.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, pelajar tersebut akan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Islam, Hafiz Al-Quran (Qiraat) dan Kedoktoran.

“Pada hari ini, pihak Majlis Ugama Islam Sabah melalui Bahagian Zakat dan Fitrah (MUIS) akan menghantar 37 orang pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di Universiti Al Azhar Mesir dalam bidang Pengajian Islam manakala, selebihnya akan berangkat pada 12 Oktober depan yang akan mengikuti Pengajian Qiraat dan Kedoktoran.

“Kesemua mereka ini mendapat Tajaan Dermasiswa Pengajian Tinggi MUIS menerusi Tabung Zakat dan Fitrah dengan kadar RM9,000 setahun selama lima tahun tempoh pengajian mereka dan kita mengharapkan agar pelajar-pelajar ini akan meraih ilmu pengetahuan dengan cemerlang dan kembali ke negeri Sabah dengan rimbunan manfaat.

“Kita turut menasihatkan mereka untuk aktif terlibat dengan persatuan seperti Persatuan Badan Kebajikan Mahasiswa Sabah Mesir, Persatuan Anak Malaysia dan sentiasa berhubung dengan anak-anak sabah yang lain, rakan-rakan se-Malaysia seterusnya pelajar-pelajar antarabangsa bagi meluaskan wawasan mereka untuk menjadikan mereka terampil dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat kelak,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat kepada pelajar diraikan dalam majlis meraikan pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar Dan Shoubra Mesir di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Yang DiPertua MUIS Malai Ali Malai Ahmad berharap agar pihaknya dapat meneroka peluang baharu dengan menghantar pelajar-pelajar ke timur tengah khususnya Maghribi dan Turki bagi mengikuti bidang penulisan Kaligrafi Islam.

“Selepas ini, kita akan melihat ruang di negara Maghribi dan Turki untuk kita hantar pelajar mempelajari penulisan kaligrafi Islam memandangkan bidang tersebut mampu memberi sumbangan yang besar kepada pemantapan ekonomi bukan sahaja kepada pelajar tersebut tetapi juga kepada negeri ini dalam usaha menjadikan Sabah sebagai Dataran Seni dan Budaya Islam,” ujar beliau.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali. — JABATAN PENERANGAN SABAH




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *