Ydpa
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatan Al-Mustafa Billah Shah membuat melambai terakhir kepada warga Sipitang yang membanjiri Masjid Sahabat Sindumin sebelum berangkat ke Sarawak ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

BERA, PAHANG – Sepuluh hari berlalu selepas program Kembara Kenali Borneo, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan perasaan rindu kepada negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.

Seri Paduka Baginda berkata perjalanan 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo itu “dipenuhi pengalaman manis, tiada yang pahit dan semuanya berjalan elok”.

“Saya ingin ambil kesempatan… ini kali pertama saya berucap selepas 10 hari di kembara dan saya sekeluarga masih lagi ada perasaan rindu kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Brunei dan sudah tentu juga kepada Pahang.

“Kepada semua di Borneo, izinkan saya mengatakan bahawa walaupun jauh di mata, tapi tetap dekat di hati kita semua. Saya harapkan orang di sana juga, ada perasaan rindu kepada kita orang Pahang,” titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut menzahirkan hasrat menerbitkan buku dan membuat video semua pengalaman sepanjang kembara dari 3 hingga 13 September lalu.

Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan oleh Al-Sultan Abdullah sendiri merupakan kunjungan terakhir Seri Paduka Baginda ke Sabah dan Sarawak sebagai seorang Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.

Rakyat di Sabah, yang kebanyakkan buat pertama kali menyapa seorang Raja berjaya menghibur hati Seri Paduka Baginda sekeluarga dengan panggilan tidak terlatih “Datin”, “Gong” sehingga ada dari kalangan berumur di Pantai Timur memberikan wang sebagai tanda kasih sayang.

 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *