Dbkk
Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang kategori ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dalam Acara Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2023 semalam, Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meraih gelaran Juara Perbarisan Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

Naib johan pula dimenangi oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia diikuti Jabatan Sukarelawan Malaysia Negeri Sabah di tempat ketiga.

Turut menjuarai kategori masing-masing ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon (sekolah rendah), Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran (sekolah menengah) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sabah (NGO).

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah muncul pemenang utama kategori swasta manakala Persatuan Masyarakat Brunei Sabah menjuarai kategori pertubuhan etnik, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kota Kinabalu (institut pengajian tinggi awam dan swasta) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (kategori jabatan kerajaan tidak berpakaian rasmi)

Johan setiap kategori membawa pulang piala, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,500 manakala di tangga kedua menerima RM1,300 sijil dan piala sementara ketiga mendapat sijil, piala dan RM 1,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pembantu Menteri Kesejahteraan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Julita Majungki.

Dalam acara tersebut, sebanyak 114 kontinjen menyertai acara perarakan di Dataran Bandaraya Jalan Tun Fuad Stephens.

Pasukan perbarisan terdiri daripada lapan kategori merangkumi pasukan keselamatan, badan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah, institut pengajian tinggi, pertubuhan etnik Sabah serta syarikat swasta. — JABATAN PENERANGAN SABAH 

Dbkk
Sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang kategori ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *